Bolehkah menyimpan daging korban melebihi 3 hari? Sememangnya terdapat hadis Rasulullah saw yang melarang menyimpan daging korban melebihi 3 hari. Bagaimanapun, Ulama' telah memansuhkan pegangan pada hadis tersebut atas terdapat hadis lain yang bercanggah dengan hadis tadi. Justeru itu, artikel ini menerangkan hukum menyimpan daging korban melebihi 3 hari setelah korban mengikut sumber rujukan dari pejabat MUFTI Kuala Lumpur dan JAKIM.
Apakah itu Daging Korban?
- Korban atau qurban dalam bahasa Arab: قربان dalam konteks ajaran Islam merujuk kepada perlakuan menyembelih binatang tertentu pada Hari Raya Aidiladha atau hari tasyriq dengan tujuan untuk mendampingkan diri kepada Allah S.W.T. Binatang yang dibolehkan untuk qurban ialah unta, lembu, kerbau, kambing dan biri-biri (kibas). Daging yang diperolehi daripada binatang korban dikenali sebagai daging korban.
- Peristiwa korban ini adalah ibadah sempena mengingati peristiwa pengorbanan Nabi Ibrahim a.s. dan Nabi Ismail as.
- Bagi yang berkemampuan, adalah disyariatkan untuk melakukan ibadah korban kerana Allah SWT.
Dalil pensyariatannya adalah berdasarkan firman Allah SWT:
فَصَلِّ لِرَبِّكَ وَانْحَرْ
Maksudnya: Oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur).
- Bagi mazhab Syafi’ie, hukum melakukan korban ialah sunat muakkad.
Golongan yang Berhak Menerima Daging Korban
Untuk menentukan golongan yang layak menerima daging korban itu, hendaklah terlebih dahulu melihat sama ada korban tersebut merupakan korban sunat atau korban nazar atau yang telah ditentukan untuk dijadikan korban.
Jika korban itu telah diniatkan sebagai korban sunat, maka berikut adalah cara pembahagian daging-daging korban:
- Disunatkan untuk orang yang melakukan korban untuk mengambil 1/3 daripada daging korban tersebut untuk diri sendiri dan menyedekahkan 2/3 daripada bakinya kepada golongan fakir miskin.
- Orang yang melakukan korban mengambil 1/3 daripada daging korban, dan mengagihkan 1/3 baki daripadanya kepada golongan fakir miskin, serta 1/3 lagi daripadanya diberikan sebagai hadiah kepada golongan kaya (saudara-mara atau jiran-tetangga). Bagaimanapun memberi sedekah kepada 2/3 kepada golongan miskin lebih afdhal daripada memberi hadiah kepada golongan kaya.
- Seseorang yang melakukan korban tersebut menyedekahkan keseluruhan daripada daging korban dan memakan sedikit sahaja daripadanya sebagai sekadar mengambil berkat.
Jika seseorang yang melakukan korban menyedekahkan keseluruhan daging tersebut, maka itu merupakan amalan yang mendekatkan diri kepada Allah SWT dan menjauhkan diri daripada sikap mementingkan diri sendiri.
- Bagaimanapun, jika sekiranya haiwan korban tersebut merupakan sebagai korban nazar atau korban wajib yang telah ditentukan, maka wajib baginya menyedekahkan kesemua daging korban tersebut kepada golongan fakir miskin dan tidak harus untuk dia memakan sebahagian daripadanya (Rujuk al-Mu’tamad Fi Fiqh al-Syafie: 485).
Hukum Menyimpan Daging Korban Melebihi 3 Hari
Bagi hukum menyimpan daging korban melebihi 3 hari 3 malam, terdapat dua pandangan berkaitan ini.
Pandangan Pertama:
- Haram menyimpan daging korban melebihi 3 hari.
Ini berdasarkan sebuah hadith riwayat Muslim iaitu daripada Abu Ubaid bahawa beliau berkata:
شَهِدْتُ الْعِيدَ مَعَ عَلِيِّ بْنِ أَبِي طَالِبٍ فَبَدَأَ بِالصَّلاَةِ قَبْلَ الْخُطْبَةِ وَقَالَ إِنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم نَهَانَا أَنْ نَأْكُلَ مِنْ لُحُومِ نُسُكِنَا بَعْدَ ثَلاَثٍ
Maksudnya: Aku telah bersama’Ali bin Abi Talib ketika hari raya (korban) maka beliau memulakannya dengan solat sebelum berkhutbah dan berkata: “Sesungguhnya Rasulullah SAW telah menegah kita daripada memakan daging korban melebihi 3 hari”.
Pandangan Kedua:
- Dibolehkan untuk menyimpan daging korban melebihi 3 hari dan hadis mengenai larangannya itu telah dimansuhkan.
- Terdapat banyak hadis yang menunjukkan hukum harus menyimpan daging korban melebihi 3 hari.
- Antaranya riwayat daripada Abdul Rahman bin ‘Abis daripada bapanya telah bertanyakan kepada ‘Aisyah R.Anha adakah Rasulullah SAW telah melarang dari memakan daging korban melebihi 3 hari dan jawab ‘Aisyah R.Anha:
مَا فَعَلَهُ إِلاَّ فِي عَامٍ جَاعَ النَّاسُ فِيهِ فَأَرَادَ أَنْ يُطْعِمَ الْغَنِيُّ الْفَقِيرَ وَإِنْ كُنَّا لَنَرْفَعُ الْكُرَاعَ فَنَأْكُلُهُ بَعْدَ خَمْسَ عَشْرَةَ
Maksudnya: Tidaklah Rasulullah SAW melakukannya (iaitu melarangnya) pada tahun di mana manusia berasa lapar dan demikian itu Rasulullah SAW mahukan akan yang kaya dapat memberi makan kepada yang miskin. Namun kemudiannya kami juga menyimpan bahagian kaki kambing dan memakannya 15 hari kemudiannya.
- Hadis yang lain mengharuskan menyimpan daging korban melebihi 3 hari adalah daripada Salamah bin al-Akwa’, telah berkata Rasulullah SAW:
مَنْ ضَحَّى مِنْكُمْ فَلاَ يُصْبِحَنَّ بَعْدَ ثَالِثَةٍ وَفِي بَيْتِهِ مِنْهُ شَىْءٌ. فَلَمَّا كَانَ الْعَامُ الْمُقْبِلُ قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ نَفْعَلُ كَمَا فَعَلْنَا عَامَ الْمَاضِي قَالَ : كُلُوا وَأَطْعِمُوا وَادَّخِرُوا فَإِنَّ ذَلِكَ الْعَامَ كَانَ بِالنَّاسِ جَهْدٌ فَأَرَدْتُ أَنْ تُعِينُوا فِيهَا
Maksudnya: Sesiapa yang melakukan korban janganlah kamu menyimpan sesuatu pun daripada daging tersebut di rumah. Ketika mana tibanya tahun hadapan, para sahabat bertanyakan kepada Rasulullah SAW: “Wahai Rasulullah SAW, adakah perlu kami melakukan sepertimana tahun lepas. Jawab Baginda SAW: “Makanlah kalian, berikanlah makan kepada orang lain dan simpanlah kerana pada waktu itu (tahun yang lepas) manusia berada di dalam kesusahan (iaitu kelaparan) dan aku menginginkan agar kamu membantu yang lain”.
Kesimpulannya, berdasarkan Al-Imam al-Nawawi adalah dibolehkan untuk menyimpan daging melebihi 3 hari.
“Dibolehkan untuk menyimpan sebahagian daripada daging korban. Adapun larangan menyimpan daging korban melebihi tiga hari dilarang oleh Nabi SAW kemudian Baginda SAW telah mengizinkannya dan ianya thabit di dalam hadith yang sahih lagi masyhur.”
Sumber: MUFTI Kuala Lumpur
Jangan lupa subscribe www.kasturihijau.com untuk mengetahui artikel-artikel yang terbaru dari kami dengan memasukkan alamat emel anda di bawah, dan tekan butang subscribe berwarna hijau di bawah. Terima kasih.