Return to site

Tatacara Menunaikan Solat Jenazah Ghaib bagi Jenazah Lelaki dan Perempuan

www.kasturihijau.com

· AGAMA
solat jenazah ghaib

Pernahkah anda mendirikan solat jenazah ghaib? Cara mendirikan solat jenazah ghaib adalah sama dengan cara mendirikan solat jenazah hadir, cuma jenazah tidak hadir bersama orang mensolatkannnya. Berikut adalah cara dan panduan mendirikan solat jenazah ghaib bagi jenazah lelaki dan wanita.

Pengenalan Solat Jenazah Ghaib

  • Solat jenazah ghaib bermaksud jenazah yang tidak hadir bersama orang yang mensolatkannya.
  • Solat jenazah ghaib adalah diharuskan (dibolehkan) ke atas jenazah yang berada di luar negeri, sama ada jenazah itu berada di arah kiblat atau bukan arah kiblat.
  • Adapun jenazah yang berada dalam negeri, tidak harus disolatkan secara ghaib, yakni mesti disolatkan dengan jenazah hadir di hadapan orang-orang yang mensolatkannya.
  • Solat ke atas jenazah tersebut boleh dilakukan sekalipun telah dikebumikan.

 

Dalil Solat Jenazah Ghaib

  • Hukum solat jenazah adalah fardhu kifayah. Fardhu kifayah bermaksud apabila seseorang sudah melakukannya, orang lain di kawasan itu telah terlepas tanggungjawab tersebut. Jika tidak ada seorang pun yang melakukannya, semua orang di kariah itu akan menanggung dosa.
  • Solat jenazah ghaib dilaksanakan jika jenazah berada di negeri yang lain yang berada jauh dari negeri asalnya.
  • Solat jenazah ghaib boleh dilakukan bermula dari saat berita kematian dan berlanjutan selama tiga hari kerana 3 hari adalah tempoh bertakziah menurut kitab-kitab fiqh (Rujuk al-Tanbih hal. 38, al-Umm 1/244 dan Mughni al-Muhtaj, 1/346).

Antara syarat solat jenazah ghaib mempunyai syarat-syarat utama iaitu:

  1. Solat jenazah ghaib dilakukan di negeri yang berlainan dengan keberadaan mayat.
  2. Solat jenazah ghaib tersebut dilaksanakan setelah dimandikan mayat tersebut. Tidak sah solat jenazah sebelum dimandikan (Rujuk al-Taqrirat al-Sadidah, hlm 385 dan al-Fiqh al-Manhaji, 1/600).

Dalil-dalil Solat Jenazah Ghaib

  • Dalil- dalil solat jenazah ghaib adalah seperti berikut:

1. Pensyariatan solat jenazah ghaib ini dapat dilihat berdasarkan kepada hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم نَعَى النَّجَاشِيَّ فِي الْيَوْمِ الَّذِي مَاتَ فِيهِ، خَرَجَ إِلَى الْمُصَلَّى، فَصَفَّ بِهِمْ وَكَبَّرَ أَرْبَعًا

Maksudnya: “Sesungguhnya Rasulullah SAW memberitahu akan berita kematian al-Najasyi ketika hari kematiannya. Baginda SAW keluar ke musolla, membuat saf dan bertakbir sebanyak empat kali.” (Riwayat al-Bukhari: 1245 dan Muslim: 951)

2. Nabi saw bersabda:

Maksudnya: "Sesiapa yang menyaksikan jenazah sehingga mensolatkannya, baginya pahala satu qirath, dan siapa yang mengiringi jenazah sampai dikuburkan, baginya pahala dua qirath". Sahabat bertanya apa maksud dua qirath itu? Nabi saw menjawab "Ia (dua qirath) sama dengan dua gunung besar" (Riwayat Muslim dalam Sahihnya:945)

3. Dari Malik bin Hubairah, bahawa Rasulullah saw bersabda:

Maksudnya: "Tidaklah seorang Muslim meninggal dunia lalu disolatkan oleh tiga saf kaum muslimin, melainkan diwajibkan (baginya syurga)" (Riwayat Abu Dawud dalam Sunannya: 2753)

 

Niat Solat Jenazah Ghaib

Berikut adalah niat solat jenazah ghaib untuk jenazah lelaki dan perempuan.

broken image
broken image
solat jenazah ghaib

 

 

Tatacara Solat Jenazah Ghaib bagi Jenazah Lelaki dan Perempuan

Cara mendirikan solat jenazah ghaib bagi jenazah lelaki dan perempuan adalah seperti berikut:

  1. Takbir Pertama: Takbiratul ihram diiringi niat solat jenazah ghaib.
  2. Baca lafaz niat solat jenazah lelaki atau perempuan.

Maksudnya:“Sahaja aku sembahyang ke atas mayat lelaki (nama…....) yang ghaib dengan empat kali takbir fardhu kifayah menjadi imam/makmum kerana Allah Taala.

Maksudnya; “Sahaja aku sembahyang ke atas mayat perempuan (nama..…) yang ghaib dengan empat kali takbir fardhu kifayah menjadi imam@ makmum kerana Allah Taala.”

3. Membaca surah al-Fatihah dalam keadaan kedudukan tangan sebagaimana dalam solat biasa dan tidak disunatkan membaca doa iftitah.

4. Takbir Kedua: Membaca selawat ke atas Nabi iaitu Selawat Ibrahimiyyah (seperti dalam tahiyyat akhir).

broken image

Maksudnya: Ya Allah, limpahkanlah rahmat, pujian dan keagunganMu ke atas Nabi Muhammad dan ahli keluarga Baginda, sebagaimana Engkau limpahkan rahmat, pujian dan keagungan-Mu ke atas Nabi Ibrahim dan ahli keluarga Baginda. Limpahkanlah barakah ke atas Nabi Muhammad dan ahli keluarga Baginda, sebagaimana Engkau telah limpahkan barakah ke atas Nabi Ibrahim dan ahli keluarga Baginda. Di alam semesta ini, Engkau sahajalah Ya Allah Yang Maha Terpuji lagi Maha Mulia.

5. Takbir Ketiga: Membaca doa ke atas jenazah ghaib iaitu;

broken image

 

Maksudnya: “Ya Allah, ampunilah dosanya, rahmatilah, selamatkan, maafkanlah, muliakan tempat persinggahannya, luaskanlah kuburnya, siramilah dia dengan air, salji, dan embun, bersihkan dia daripada segala kesalahan sebagaimana dibersihkan pakaian yang putih daripada kotoran. Gantikanlah kediamannya dengan kediaman yang lebih baik, keluarganya dengan keluarga yang lebih baik, isteri / suaminya dengan isteri / suami yang lebih baik. Masukkanlah dia ke dalam syurga dan lindungilah dia daripada azab kubur dan fitnahnya
dan azab neraka.”

6. Takbir Keempat: Membaca doa untuk diri orang yang mendirikan solat jenazah dan ke atas jenazah iaitu;

broken image

Maksudnya: “Ya Allah, janganlah Engkau meluputkan kami akan pahalanya), dan janganlah Engkau memberi kami fitnah sepeninggalannya dan ampunilah kami dan dia serta saudara seIslam kami dan orang-orang yang beriman sebelum kami dan janganlah Engkau membiarkan kedengkian di dalam hati-hati kami terhadap orang-orang yang beriman, sesungguhnya Engkaulah Tuhan yang Maha Penyantun lagi Maha Mengasihani.”

7. Terakhir: Memberi salam ke sebelah kanan dan kemudiannya ke sebelah kiri.

Semoga artikel ini memberi manfaat kepada para pembaca dan menjadi rujukan kepada sesiapa yang tidak pasti cara mengerjakan solat jenazah ghaib dengan betul.

Sumber: Mufti KL & Jabatan Agama Islam Negeri Kedah

Jangan lupa subscribe free www.kasturihijau.com untuk mengetahui informasi yang terbaru dari kami dengan memasukkan alamat emel anda di bawah, dan tekan butang subscribe berwarna hijau di bawah. Terima kasih