Bagi muslim atau orang yang beragama Islam, Al-Quran telah diturunkan kepada Rasulullah saw dan ke atas semua umat Muhammad saw untuk dijadikan panduan hidup atau a way of life. Jadi untuk setiap usaha dan kerja yang kita lakukan di dunia ini, haruslah berpandukan Al-Quran dan As-Sunnah. Begitu juga dalam soal mencari jodoh, Islam telah memberi panduan bahawa setiap orang harus mencari jodoh jika cukup syarat dan mampu, yang mana pernikahan adalah pelengkap separuh kepada Ad-Din.
Dari Anas bin Malik ra, berkata: "Telah bersabda Rasulullah SAW yang artinya: "Barangsiapa menikah, maka ia telah melengkapi separuh dari agamanya. Dan hendaklah ia bertakwa kepada Allah dalam memelihara yang separuhnya lagi." (HR. Tabrani dan Hakim).
Dalam usaha mencari jodoh, seseorang perlu mengikut panduan agama dan tidak boleh mengikut hawa nafsu semata-mata. Ada cara untuk mengenali seseorang tanpa bercinta iaitu dengan cara taaruf. Artikel ini menerangkan maksud taaruf dan bercouple, cara taaruf yang betul dan kelebihan taaruf menurut Islam.
Pengenalan Taaruf dan Couple
Taaruf dan bercouple adalah cara yang digunakan oleh seseorang untuk mendapatkan jodoh dan pasangan. Bagaimanapun, taaruf adalah diharuskan dalam agama Islam, manakala bercouple atau bercinta adalah haram dan berdosa.
Maksud Taaruf
- Bertaaruf dari segi bahasa bermaksud berkenalan. Perkataan ‘taaruf’ adalah berasal daripada perkataan orang Arab yang bermaksud suai kenal.
- Taaruf sebelum kahwin adalah bermaksud satu proses perkenalan diri dengan lebih mendalam bagi kedua-dua pasangan yang berniat untuk berkahwin.
- Ia boleh dilakukan di antara kedua-dua calon tanpa wakil (menggunakan medium seperti media sosial) ataupun dengan melantik wakil untuk menguruskan proses taaruf tersebut.
- Semasa proses taaruf, anda boleh mengenali, dan menilai calon jodoh anda itu, sama ada sesuai atau tidak. Anda boleh menerima, atau menolak dengan cara yang baik, dan ia tidak menyalahi apa-apa hukum kerana Islam menyuruh anda memilih pasangan yang tepat sebagai teman hidup.
- Ibarat kata pepatah, memilih suami itu ibarat memilih akhirat kamu. Jadi pilih yang sebaik nya untuk dunia dan akhirat kamu.
- Manakala, memilih isteri ibarat memilih madrasah, jika baik madrasah yang dibina, maka baiklah yang lainnya.
Maksud Bercouple atau Berdating
- Bercouple atau berdating merupakan suatu budaya atau perangai yang telah dibudayakan oleh masyarakat remaja dan dewasa kini.
- Bermula dengan saling berpandangan mata, kemudian turun ke hati. Apabila suka sama suka, pasangan itu akan ishtihar mereka adalah sebagai pasangan kekasih dan kemudian bercouple.
- Kebiasaannya, ikatan percintaan mereka adalah atas dasar hawa nafsu, dan kadang-kadang tiada niat untuk ke jinjang pelamin.
- Budaya bercouple ini adalah sangat bahaya kerana ia boleh merosakkan akhlak, pergaulan yang melampau batas antara bukan mahram, dan boleh menyebabkan penzinaan. Satu dosa besar yang dilakukan akibat pergaulan bebas, akan mengakibatkan rentetan dosa-dosa besar yang lain seperti penzinaan, dan pembuangan bayi.
- Justeru, bercouple atau berdating adalah haram dan berdosa.
Hukum Taaruf
- Hukum taaruf adalah harus, sama ada bersama wali/waris ketika berjumpa atau berkenalan secara online. Berkenalan secara taaruf tidak melanggar syarak, dan jauh beza dengan cara perkenalan couple. Pasangan bertaaruf ini sudah mempunyai niat untuk berkahwin dan sudah bersedia secara mental, fizikal, dan batin untuk menempuhi pernikahan.
- Jika anda belum bersedia untuk bernikah, tidak digalakkan untuk taaruf kerana ia akan menjadi sia-sia dan menyusahkan pihak yang sudah bersedia.
- Digalakkan juga bertanya tentang bakal pasangan kepada keluarga dan kawan calon untuk mendapat gambaran yang lebih jelas mengenai dia.
Hukum Bercouple
- Hukum bercouple adalah haram dan berdosa. Tidak ada isu sama ada diketahui oleh kedua ibu bapa pasangan atau tidak, ia tetap haram.
- Jika kedua-dua ibu bapa telah mengetahui hubungan di antara anak masing-masing, alangkah bagusnya jika diaturkan dengan ikatan pertunangan, ia merupakan sunnah dan dianjurkan dalam Islam.
- Bercouple tanpa tujuan dan matlamatnya adalah sia-sia dan berdosa, malah hubungan sedemikian mendekatkan kepada zina.
Firman Allah SWT :
وَلَا تَقْرَبُوا۟ ٱلزِّنَىٰٓ ۖ إِنَّهُۥ كَانَ فَٰحِشَةً وَسَآءَ سَبِيلًا
Maksudnya : Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan) (al-Israa : 32).
Begitu juga firman Allah SWT; Maksudnya : “Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan. Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka...” (an-Nur : 30-31).
Cara Taaruf yang Betul dalam Islam
Jika anda seorang lelaki mahupun perempuan yang sudah bersedia untuk bernikah, berikut adalah langkah-langkah taaruf yang anda boleh lakukan.
- Bertanya dan selidik pasangan anda dengan teliti
Ketika dalam proses perkenalan, anda digalakkan untuk bertanyakan soalan seberapa banyak dan sedalam yang mungkin kepada bakal pasangan anda itu. Lagi banyak soalan yang anda tanya, bermakna lagi banyak maklumat yang anda bakal perolehi berkenaan calon taaruf anda itu. Ini penting bagi menentukan keputusan sama ada anda dan si dia boleh meneruskan perhubungan ataupun tidak. Anda boleh menghantar gambar yang menutup aurat dan memberikan maklumat peribadi anda kepada calon pasangan anda.
- Gunakan orang tengah jika perlu
Proses perkenalan boleh dilakukan tanpa orang tengah atau wakil. Namun menggunakan orang tengah atau wakil sangat digalakkan di dalam Islam demi mengelakkan berlakunya fitnah, seperti dari kalangan keluarga ataupun sahabat-sahabat yang anda percayai.
- Adakan pertemuan antara calon jodoh
Tips yang seterusnya untuk proses taaruf ialah kedua-dua bakal pasangan mesti mengadakan pertemuan. Pertemuan juga termasuk dalam proses yang penting kerana pada masa inilah calon akan melihat bakal pasangan masing-masing. Pertemuan yang diaturkan seeloknya di kalangan keluarga kedua-dua belah pihak sendiri. Pertemuan itu perlu diadakan di tempat awam dan dapat mengelakkan daripada berlakunya fitnah.
- Menyatakan matlamat hidup anda dan tujuan anda berkahwin
Perkahwinan merupakan sebahagian daripada proses kitaran hidup kebiasaan seorang manusia yang normal. Adalah amat baik jika sebelum berkahwin anda tahu ke mana matlamat hidup masing-masing dan hala tuju rumah tangga yang akan dibawa nanti. Tujuannya adalah mewujudkan keserasian antara anda dan pasangan sebelum berkahwin.
- Bertaaruf tidak boleh mengambil masa yang lama
Jika masing-masing telah memilih, seeloknya dipercepatkan tarikh bertunang dan nikah. Jika anda mengambil masa yang begitu lama, ditakuti hati seseorang akan berubah-berubah.
- Jaga keselamatan dan kehormatan diri anda
Semasa anda bertaaruf dengan seseorang, pastikan anda menjaga keselamatan anda. Mungkin ada segelintir pihak yang akan mengambil kesempatan terhadap diri anda.Jangan cepat percaya kepada calon taaruf yang anda baru kenal, anda perlu mendapatkan nasihat daripada keluarga anda mengenai beliau, dan berjumpa calon taaruf bersama keluarga.
- Lakukan solat istikharah
Setelah anda berusaha, akhir sekali mengadulah kepada Allah S.W.T. Mintalah supaya diberikan petunjuk dan hidayah. Jika perlu anda boleh melakukan ‘Solat Istikharah’ bagi meminta petunjuk agar diberikan jalan yang benar. Mungkin dengan melakukan solat istikharah, anda akan mendapat ketenangan dalam setiap keputusan yang dibuat nanti dan urusan pencarian jodoh anda dipermudahkan.
Kelebihan Taaruf dari Sudut Islam
- Mendekatkan diri dan mencari keredhaan Allah SWT.
- Mendapat ganjaran pahala atas niat melakukan ibadah.
- Menghormati keluarga kedua-dua pihak
- Menjaga kesucian dan kehormatan pasangan
- Membina kepercayaan dan komunikasi yang baik
- Mengurangkan risiko penceraian
- Mendapat berkat dalam perkahwinan
Bagi yang mencari calon jodoh, anda boleh pergi ke laman web berikut untuk taaruf bagi yang tinggal di Malaysia atau asal Malaysia, baituljannah, tilljannah, myjodoh, dan baitulmuslim. Menurut berita, sebanyak 1.1 juta telah berdaftar mencari jodoh secara online berpandukan syariat. Semoga anda mendapat jodoh yang terbaik.
Sumber: Jabatan Agama Islam Negeri Selangor
Jangan lupa subscribe www.kasturihijau.com untuk mengetahui artikel-artikel yang terbaru dari kami dengan memasukkan alamat emel anda di bawah, dan tekan butang subscribe berwarna hijau di bawah. Terima kasih.