Sayur-sayuran dan buah-buahan adalah sumber pelbagai vitamin dan mineral kepada tubuh badan. Untuk menjaga gaya hidup sihat, setiap individu perlu mengamalkan sayur dan buah-buahan dalam gizi harian mereka. Namun, memandangkan harga bahan-bahan mentah dan sayur-sayuran semakin mahal, jadi penanaman sayuran di kawasan rumah menjadi pilihan yang semakin popular. Selain memberikan sumber makanan segar dan berkhasiat, berkebun di halaman rumah juga mempunyai banyak faedah iaitu mengurangkan stres dan peningkatan kecergasan fizikal. Justeru itu, dalam artikel ini, kami kongsikan jenis-jenis sayur-sayuran yang mudah ditanam di halaman atau belakang rumah anda.
Jenis Sayur-sayuran Mudah Ditanam Di Rumah
1. Sayur Kangkung
Sayur kankung sesuai untuk ditanam di kawasan rumah sama ada dalam polibag atau atas tanah. Cara-cara penanaman sayur kangkung adalah seperti berikut:
- Kangkung memerlukan cahaya matahari penuh anggaran lebih daripada 6 jam pendedahan kepada cahaya matahari
- Sayur kangkung boleh ditanam di mana bekas kecil atau bekas yang sesuai
- Letakkan besen di bahagian bawah dan raga di atasnya sebelum taburkan biji benih kangkung. Jika lubangnya terlalu besar, letakkan kapas supaya benih tidak terjatuh melalui lubang tersebut.
- Isikan air dalam besen dan pastikan paras air cecah raga saja.
- Jangan tenggelamkan benih dengan air. Selepas itu, tutupkan dengan kain gelap untuk beberapa hari sehingga akar dan pucuk kangkung mula keluar.
- Apabila sudah ada daun, letakkan pokok kangkung di tempat yang ada sinaran cahaya matahari, tetapi pastikan paras air kena pada akar pokok.
- Selepas 3-4 minggu, kangkung sudah sedia untuk dituai dan digunakan untuk masakan.
Khasiat kangkung adalah sesuai untuk pesakit darah tinggi, melancarkan penghadaman, dan mengurangkan anemia.
2. Daun Saderi
Cara penanaman daun saderi adalah:
- Ambil 3 inci bahagian akar saderi, dan cucukkan dengan batang lidi dari bahagian luar supaya akar tidak mencecah bawah bekas. Rendamkan di dalam bekas berisi air.
- Letakkan bekas pada tempat yang terkena cahaya matahari. Apabila daun saderi sudah mula bercambah, alihkan ke pasu berisi tanah dan siram dua kali sehari.
- Pastikan tanah sentiasa lembap untuk daun saderi tumbuh dengan segar.
Khasiat kesihatan daun saderi adalah mampu membantu bagi merawat penyakit darah tinggi serta jangkitan kuman atau bakteria, ia dipercayai bagus untuk kesuburan lelaki, Daun saderi sangat kaya dengan kandungan fitonutrien dan antioksidan untuk kesuburan.
3. Serai
Cara penanaman serai adalah seperti berikut:
- Guna serai lebihan dan rendamkan bahagian akar dalam bekas berisi air.
- Akar serai akan mula tumbuh lepas 3-4 hari.
- Apabila sudah bertunas, pindahkan masuk dalam pasu dan tanam secara menyerong.
- Untuk hari pertama, anda kena siram 2 kali sehari, lepas tu hanya perlu menyiram sekali sehari
Khasiat serai adalah meningkatkan kesihatan gigi dan mulut, mampu menghalang pertumbuhan bakteria, melegakan kerisauan dan mengatasi kembung perut
4. Halia
Cara Penanaman halia adalah seperti berikut:
- Pilih halia yang sudah bertunas supaya lagi cepat ia membesar.
- Tanamkan halia di dalam pasu dan pastikan ia diletak pada kawasan yang separuh teduh.
- Jangan dedahkan kepada cahaya matahari secara terus
- Untuk halia muda, tuai selepas 6 bulan. Untuk halia tua, tuai selepas 9 bulan.
Khasiat halia adalah membantu merangsang sistem penghadaman manusia, mampu melegakan sembelit, kekejangan dan kembung perut yang disebabkan oleh gastritis.
5. Bendi
Cara penanaman bendi di kawasan rumah adalah:
- Letak tanah yang sesuai dalam pasu dan mula semai biji benih bendi.
- Sediakan lubang semaian antara 1/2 hingga 1 inci di tengah-tengah pasu atau bekas dan tanam 2/3 biji benih dalam setiap lubang
- Tutupkan lubang dan semburkan air pada tanah tersebut.
- Pastikan tanaman berada di kawasan yang mempunyai cahaya matahari terus dan sentiasa dalam keadaan lembab. Biji benih akan mula bercambah dalam 5-7 hari.
- Selepas 1 hingga 1.5 bulan, bendi sepatutnya sudah sedia untuk dituai.
- Potongkan tangkai menggunakan pisau yang tajam supaya tidak menjejaskan pertumbuhan pokok bendi anda.
Khasiat bendi adalah tingkatkan kesihatan jantung dan membantu menurunkan risiko penyakit kardiovaskular.
6. Daun Bawang
Cara-cara penanaman daun bawang adalah:
- Potong sedikit bahagian atas bawang merah untuk cepatkan percambahan dan tanamkan bahagian akarnya di dalam pasu yang bertanah.
- Siram sekali sehari dan pastikan pokok mendapat cahaya matahari.
- Dalam 3 minggu macam tu, anak pokok akan mula membesar.
Khasiat daun bawang adalah membantu turunkan berat badan, sumber serat yang baik dan baik untuk kesihatan jantung.
7. Pokok Cili Padi
Cara-cara penanaman pokok cili adalah:
- Sediakan pasu berisi tanah dan masukkan biji cili, siram dua kali sehari.
- Apabila sudah nampak anak pokok cili sudah mula bercambah, anda boleh alihkan ke pasu yang lebih besar.
Khasiat cili adalah membantu membakar lemak, menurunkan kadar gula dalam darah, menyihatkan jantung dan mengelakkan strok.
8. Sawi Cina (Bok Choy)
Cara-cara penanaman sawi Cina adalah seperti berikut:
- Potong pangkal sayur lebih kurang 1 inci setengah dan rendam dalam air.
- Letak di kawasan yang terang supaya ia dapat cahaya matahari yang cukup.
- Selepas 1-2 minggu, pindahkan ke pasu berisi tanah dan biarkan ia tumbuh dengan besar.
Khasiat sawi adalah meningkatkan sistem imuniti tubuh, mengurangi kadar kolesterol jahat, menjaga kesihatan mata, dan meningkatkan kesihatan tulang.
Kredit dan Sumber Asal: propertyguru.com.my
Seperti yang telah dikongsikan tadi adalah jenis-jenis sayur-sayuran yang mudah ditanam di kawasan rumah. Selain anda dapat menjimatkan perbelanjaan dapur, anda juga dapat menghilangkan stres dan tekanan dengan melakukan aktiviti berkebun seperti ini. Semoga perkongsian ini bermanfaat untuk anda para pembaca kasturihijau.com.