Return to site

7 Tanda Gout dan Tabiat Suka Minum Air Manis Merupakan Penyebab Utama Gout

kasturihijau.com

· KESIHATAN
7 Tanda Gout dan Tabiat Suka Minum Air Manis Merupakan Penyebab Utama Gout

Tahukah anda bahawa antara punca utama penyakit gout adalah pengambilan dengan kerap makanan dan minuman manis yang mengandungi fruktosa yang tinggi. Gout adalah penyakit artritis yang menyebabkan kesakitan teruk dan bengkak pada bahagian sendi terutamanya pada kaki. Dalam artikel kali ini, kami akan kongsikan tanda-tanda gout dan petua mengurangkan kesakitan gout yang mungkin anda alami.

 

Apakah itu Gout?

  • Gout adalah disebabkan oleh pengumpulan asid urik yang berlebihan dalam aliran darah yang menyebabkan terjadinya radang sendi. Pengumpulan asid urik ini boleh menyebabkan kesakitan, bengkak, dan kekejangan pada sendi, terutamanya di jari kaki.
  • Walaupun lelaki lebih cenderung mengalami masalah ini, wanita selepas menopaus juga lebih terdedah. Serangan gout boleh berlaku dengan pantas dan berulang dari semasa ke semasa, menyebabkan kerosakan tisu di kawasan yang keradangan secara beransur-ansur.
broken image

 

Proses Pembentukan Asid Urik 

  • Apabila seseorang banyak memakan makanan yang tinggi purin seperti daging steak, dan makanan laut, purin akan berkumpul dalam darah dan dipecahkan dalam bentuk asid urik. Asid urik ini kemudiannya larut dalam darah dan dikeluarkan melalui air kencing.
  • Hyperuricemia, di mana terdapat kandungan asid urik yang terlalu tinggi dalam darah, akan menyebabkan pembentukan kristal urate yang tajam seperti jarum. Apabila kristal urate berkumpul di bahagian sendi, ia menyebabkan keradangan dan sakit yang teruk.

 

Faktor yang Meningkatkan Risiko Menghidap Gout

Bagi wanita, bacaan normal asid urik ialah kurang daripada 360 µmol/L, dan bagi lelaki dan wanita menopaus, bacaan normal ialah kurang daripada 420 µmol/L. Selalunya, bacaan asid urik pesakit gout melebihi 540 µmol/L.

Jika seseorang mempunyai aras asid urik yang tinggi dalam darah, maka risiko untuk mendapat gout adalah tinggi. Antara faktor-faktor yang meningkatkan aras asid urik dalam darah termasuklah:

1. Makanan atau Diet

Kebanyakan orang mengambil makanan dan minuman yang mengandungi banyak asid urik, seperti daging, makanan laut, udang, sotong, kekacang, air manis yang mengandungi gula fruktosa, dan minuman beralkohol.

2. Obesiti

Jika anda mempunyai berat badan yang berlebihan, badan anda akan menghasilkan lebih banyak asid urik. Ia juga meningkatkan kemungkinan masalah buah pinggang kerana buah pinggang perlu bekerja lebih keras untuk membuang asid urik melalui air kencing.

3. Masalah kesihatan

Tekanan darah tinggi yang tidak dirawat, penyakit kronik seperti kencing manis, sindrom metabolik, penyakit jantung dan penyakit buah pinggang adalah beberapa masalah kesihatan yang meningkatkan risiko mendapat gout.

4. Pengambilan ubat tertentu

Kadar asid urik boleh meningkat akibat penggunaan aspirin dan diuretik thiazide, yang biasanya digunakan untuk merawat tekanan darah tinggi.

5. Keturunan atau faktor genetik

Anda juga cenderung menghidap gout jika ada ahli keluarga yang menghidapnya.

6. Faktor umur dan jantina

Walaupun tahap asid urik lelaki lebih tinggi daripada wanita, tahap asid urik wanita meningkat selepas menopaus.

7. Trauma atau penderaan

Risiko terkena serangan gout dikaitkan dengan pembedahan atau trauma.

 

Kaitan Tabiat Suka Minum Air Manis dengan Gout

  • Analisis data kajian menunjukkan bahawa terdapat perkaitan kuat antara pengambilan gula berlebihan, terutamanya daripada minuman manis yang mengandungi banyak fruktosa dan gula dengan penyakit gout. Satu-satunya jenis karbohidrat yang boleh meningkatkan tahap asid urik dalam darah ialah fruktosa. Minuman bergula, buah-buahan manis, dan jus yang telah dikaji mengandungi kandungan fruktosa yang tinggi boleh menyebabkan gout menjadi lebih teruk.
  • Selain itu, fruktosa menyebabkan masalah dengan rintangan insulin dan meningkatkan paras insulin dalam darah, yang boleh menyebabkan sindrom metabolik. Selain itu, minum jus buah-buahan dan makan buah-buahan manis seperti durian, rambutan, nangka dan sebagainya boleh meningkatkan tahap asid urik dan menyebabkan sakit sendi gout.
  • Kajian menunjukkan bahawa fruktosa merosakkan enzim xanthine oxidase dalam hati, menyebabkan paras asid urik dalam darah meningkat, yang menyebabkan sakit sendi yang dikenali sebagai gout.

 

broken image

 

 

Tanda-tanda Gout

Sesetengah individu dengan asid urik tinggi tidak menunjukkan sebarang simptom. Ini dipanggil gout tanpa gejala. Namun begitu, dalam serangan akut, simptom muncul dengan cepat dan boleh bertahan selama tiga hingga sepuluh hari. Antara ciri-ciri individu yang mengalami masalah ini ialah:

  1. Sakit tiba-tiba pada sendi terutamanya di waktu malam
  2. Sakit pada satu sendi atau lebih
  3. Sendi terasa panas
  4. Sendi sakit jika disentuh
  5. Pergerakan sendi yang terhad
  6. Bengkak di dalam dan di sekitar sendi yang terjejas
  7. Kulit merah dan berkilat di kawasan sendi yang terjejas

 

Petua Kurangkan Sakit Gout

Pesakit gout yang minum 5-8 gelas air sehari mencapai pengurangan 43% dalam serangan gout, dan minum lebih daripada lapan gelas air sehari mencapai pengurangan 48% dalam episod serangan gout.

Rujukan: Neogi T. et al. 2009. Drinking water can reduce the risk of recurrent gout attacks.

Tips Pencegahan dan Mengurangkan Sakit Gout

  • Hadkan pengambilan daging, makanan laut dan makanan terproses
  • Kurangkan berat badan berlebihan
  • Lakukan senaman sekurang-kurangnya 30 minit setiap hari
  • Banyakkan minum air kosong
  • Hadkan atau elakkan pengambilan alkohol
  • Hadkan pengambilan gula (terutamanya gula yang mengadungi fruktosa)
  • Berhenti merokok

 

broken image

 

Komplikasi Pesakit Gout Tidak Dirawat

Pesakit gout boleh mengalami keadaan yang lebih teruk, seperti:

  1. Gout berulang
  2. Pembentukan tophi (benjolan yang terbentuk di bawah lapisan kulit mengandungi asid urik)
  3. Batu karang (disebabkan oleh pengumpulan kristal urate dalam pundi kencing)
  4. Kerosakan buah pinggang disebabkan pembentukan batu karang di buah pinggang

 

Sumber: KKM dan Portal Health

 

Jika anda mempunyai tanda-tanda gout yang disenaraikan, sebaiknya anda harus berjumpa dengan doktor perubatan untuk mendapatkan rawatan yang terbaik. Sakit gout yang berpanjangan boleh menyebabkan sakit buah pinggang dan menyebabkan anda perlu melalui dialisis jika buah pinggang telah rosak. Semoga perkongsian ini bermanfaat untuk anda.