Return to site

3 Tanda-tanda Zuhud Dalam Kehidupan Menurut Imam Al-Ghazali

www.kasturihijau.com

· AGAMA
tanda  zuhud dalam kehidupan

Tahukah anda maksud zuhud yang sebenar? Bagi kebanyakkan orang mungkin berpendapat bahawa orang yang zuhud adalah orang yang memakai pakaian yang lusuh, tidak mempunyai harta yang mencukupi, hanya memikirkan akhirat dan meninggalkan kehidupan dunia, dan serba kekurangan. Pandangan ini adalah kurang tepat. Dalam artikel ini kami akan menerangkan makna zuhud yang sebenar, yang mana setiap mukmin perlu ada.

 

Apakah Maksud Zuhud?

Zuhud bermaksud bersederhana dalam kehidupan, dengan tidak memandang dunia melebihi akhirat namun dalam masa yang sama tidak meninggalkan dunia secara keseluruhan. Secara mudah, dapat difahami maksud zuhud sebagai meninggalkan sesuatu yang tidak bermanfaat untuk kehidupan akhirat.

Allah SWT berfirman mengingatkan manusia tentang kehidupan dunia maksudnya: "Dan (ingatlah bahawa) kehidupan dunia ini (meliputi segala kesenangan dan kemewahannya, jika dinilaikan dengan kehidupan akhirat) tidak lain hanyalah ibarat hiburan dan permainan dan sesungguhnya negeri akhirat itu ialah kehidupan yang sebenar-benarnya; kalaulah mereka mengetahui (hakikat ini tentulah mereka tidak akan melupakan hari akhirat)." (Surah al-Ankabut, ayat 64)

 

broken image

 

 

Hadis Berkaitan Zuhud

Beberapa hadis dan pendapat para sahabat yang dapat dikumpulkan adalah antaranya:

  • Daripada Abu Abbas Sahl bin Sa’ad Al-Sa’idi RA, dia berkata: Seorang lelaki mendatangi Rasulullah SAW, maka beliau berkata: “Wahai Rasulullah, tunjukkan kepadaku satu amalan yang jika aku kerjakan, Allah dan manusia akan mencintaiku. Baginda bersabda:

ازْهَدْ فِي الدُّنْيَا يُحِبَّك اللهُ، وَازْهَدْ فِيمَا عِنْدَ النَّاسِ يُحِبَّك النَّاسُ

Maksudnya: “Zuhudlah terhadap dunia maka engkau akan dicintai Allah, dan zuhudlah terhadap apa yang ada pada manusia maka engkau akan dicintai manusia.” (Riwayat Ibn Majah (4102) dan selainnya dengan sanad-sanad yang hasan)

  • Imam Nawawi menyebut: “Zuhud adalah meninggalkan urusan dunia yang tidak diperlukan, sekalipun perkara itu halal serta mencukupkan diri dengan perkara yang perlu sahaja.”
  • Sufyan bin Uyainah berkata: “Seseorang yang zuhud adalah jika mendapat nikmat ia bersyukur, dan jika ditimpa musibah ia sabar.”
  • "Jika kamu menyangka bahawa orang yang meninggalkan harta itulah seorang yang zuhud, ia bukan seperti itu. Sesungguhnya meninggalkan harta dan menzahirkan penampilan yang kusut adalah mudah bagi mereka yang mencintai pujian. Berapa ramai daripada rahib yang sentiasa duduk di biaranya dan makan sedikit sahaja dan yang mendorongnya ialah pujian manusia sahaja" (Ibnu Qudamah al-Maqdisi (541H-620H) dalam karangannya Mukhtashar Minhajul Qashidin)
  • "Sebaik-baik zuhud adalah yang menyembunyikan zuhud", daripada Abdullah bin al-Mubarak.

Tanda-tanda Zuhud Mengikut Imam Al-Ghazali

1. Petanda zuhud daripada harta

Petanda zuhud melalui harta adalah 'Tidak gembira dengan kewujudannya dan tidak pula bersedih dengan ketiadaannya'. Seseorang mukmin itu tidak terpengaruh dengan harta iaitu tidak berasa bangga dan tidak berasa sedih jika tiada harta.

Ini sebagaimana firman Allah: "[Kami jelaskan yang demikian itu] supaya kamu jangan berduka cita terhadap apa yang luput daripada kamu dan supaya kamu jangan terlalu gembira terhadap apa yang diberikan-Nya kepadamu. Dan Allah tidak menyukai setiap orang yang sombong lagi membanggakan diri. (Al-Hadid: 23).

الأولى: أن لا يفرح بموجود، ولا يحزن بمفقود، كما قال تعالى {لِكَيْلَا تَأْسَوْا عَلَى مَا فَاتَكُمْ وَلَا تَفْرَحُوا بِمَا آتَاكُمْ} [الحديد: 23] وهذا علامة الزهد في المال.

2. Petanda zuhud daripada kedudukan

Petanda zuhud daripada kedudukan bermaksud 'Sama sahaja baginya orang yang memujinya atau mencelanya.' Seseorang mukmin itu tidak terpengaruh kerana pujian dan juga hinaan terhadapnya. Baginya, kedua-dua pujian dan hinaan adalah sama sahaja.

 

الثاني: أن يستوي عنده ذامه ومادحه، وهذه علامة الزهد في الجاه.

3. Petanda zuhud dalam ketaatan.

Petanda zuhud dalam ketaatan kepada Allah swt adalah merasai keseronokan beribadat dengan Allah swt. Hatinya sering dipenuhi dengan kemanisan dalam melakukan ketaatan. Seseorang yang zuhud berasa terhibur atau senang dengan Allah SWT.

 

الثالث: أن يكون أنسه بالله، والغالب على قلبه حلاوة الطاعة.

Imam Al-Ghazali menambah lagi, hati seseorang tidak lepas dari kegemaran pada sesuatu yang disukai, sama ada kesukaan pada dunia (mahabbatud dunia/cinta dunia) atau kesukaan kepada Allah (mahabbatullah/cinta kepada Allah).

Bagaimanapun, cinta dunia dan cinta kepada Allah sekaligus dalam satu hati tidak mungkin terjadi. Keduanya ibarat udara dan air dalam satu wadah. Bila air masuk, maka udara dalam wadah akan keluar karena keduanya tidak akan bercampur dalam satu wadah.

 

broken image

 

 

 

Rahsia Zuhud Imam Hasan Al-Basri

Imam Hasan al-Basri berkata: “Seorang yang zuhud adalah jika ia melihat orang lain ia berkata: ‘Ia lebih baik dariku." Ulama' Sufi ini berpendapat ada 4 rahsia zuhud bagi dirinya iaitu:

  1. "Aku tahu rezekiku tidak akan diambil orang lain, kerana itu hatiku selalu tenang."
  2. "Aku tahu amalku tidak akan dikerjakan orang lain, kerana itulah aku sibuk beramal soleh"
  3. "Aku tahu Allah swt selalu memperhatikanku, kerana itulah aku malu jika Allah melihatku sedang dalam maksiat"
  4. "Dan aku tahu kematian itu sudah menungguku, kerana itulah aku selalu menambah bekal untuk hari pertemuanku dengan Allah swt."

 

broken image

 

Secara keseluruhannya, zuhud adalah tidak berlebih-lebihan dalam urusan dunia, dan tidak memandang urusan dunia melebihi urusan di akhirat, namun tidak meninggalkan urusan dunia sepenuhnya. Semoga kita mendapat pengajaran daripada kisah zuhud orang-orang soleh ini. Semoga Allah swt membimbing kita ke jalan zuhud yang diredhaiNya.

 

Sumber: Mufti WP, Majlis Agama Islam Negeri Sembilan

Diharap perkongsian ini bermanfaat untuk semua pembaca kasturihijau.com.