Anda bingung perihal jodoh? Jika anda sering terfikir-fikir mengenai permasalahan jodoh, boleh rujuk artikel ini untuk merungkai kekusutan di kepala anda. Artikel ini menerangkan apakah itu jodoh, ketetapan jodoh di Luh Mahfuz, dan tanda-tanda seseorang itu adalah jodoh anda.
Apakah itu Jodoh ?
- Jodoh adalah pasangan hidup sama ada lelaki atau perempuan yang mana pertemuan keduanya akan menghasilkan suatu perkahwinan. Jika pertemuan tidak sampai ke perkahwinan, ia bermakna tiada ketetapan jodoh dengan orang tersebut.
- Ada juga pasangan yang telah lama berkahwin, dan tiba-tiba cerai, itu juga namanya jodoh, cuma jodohnya tidak panjang.
- Ada pula yang tidak bertemu jodoh sehingga akhir usia, mungkin kerana jodohnya telah meninggal dahulu sebelumnya, atau mungkin Allah swt tetapkan jodoh mereka di syurga bersama para bidadari.
- Ada juga yang mempunyai jodoh lebih dari satu, kerana berkahwin beberapa kali, jadi kesemua orang yang dikahwininya adalah jodohnya.
- Yang pastinya, semua orang ada jodoh sama ada bertemu di dunia atau di akhirat.
Ketetapan Jodoh di Luh Mahfuz
Jodoh telahpun ditetapkan oleh Allah swt sejak di Luh Mahfuz. Secara zahirnya, seluruh kehidupan manusia ini telah ditentukan oleh Allah SWT seperti tidak ada ruang untuk manusia membuat pilihan. Manusia hanya menerima dan menjalankan sahaja secara bulat-bulat taqdir yang telah ditetapkan kepada mereka. Akan tetapi, Allah SWT bersifat dengan Maha Adil iaitu dengan memberi pilihan kepada hamba-Nya untuk memilih jalan yang diingininya sama ada jalan ke syurga atau ke neraka.
Berdasarkan daripada Abdullah bin Mas’ud RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
إِنَّ أَحَدَكُمْ يُجْمَعُ خَلْقُهُ فِي بَطْنِ أُمِّهِ أَرْبَعِينَ يَوْمًا، ثُمَّ يَكُونُ فِي ذَلِكَ عَلَقَةً مِثْلَ ذَلِكَ، ثُمَّ يَكُونُ فِي ذَلِكَ مُضْغَةً مِثْلَ ذَلِكَ، ثُمَّ يُرْسَلُ الْمَلَكُ فَيَنْفُخُ فِيهِ الرُّوحَ، وَيُؤْمَرُ بِأَرْبَعِ كَلِمَاتٍ: بِكَتْبِ رِزْقِهِ، وَأَجَلِهِ، وَعَمَلِهِ، وَشَقِيٌّ أَوْ سَعِيدٌ، فَوَالَّذِي لَا إِلَهَ غَيْرُهُ إِنَّ أَحَدَكُمْ لَيَعْمَلُ بِعَمَلِ أَهْلِ الْجَنَّةِ حَتَّى مَا يَكُونُ بَيْنَهُ وَبَيْنَهَا إِلَّا ذِرَاعٌ، فَيَسْبِقُ عَلَيْهِ الْكِتَابُ، فَيَعْمَلُ بِعَمَلِ أَهْلِ النَّارِ، فَيَدْخُلُهَا، وَإِنَّ أَحَدَكُمْ لَيَعْمَلُ بِعَمَلِ أَهْلِ النَّارِ، حَتَّى مَا يَكُونُ بَيْنَهُ وَبَيْنَهَا إِلَّا ذِرَاعٌ، فَيَسْبِقُ عَلَيْهِ الْكِتَابُ، فَيَعْمَلُ بِعَمَلِ أَهْلِ الْجَنَّةِ، فَيَدْخُلُهَا
Maksudnya: “Sesungguhnya setiap kamu dikumpulkan penciptaannya di perut ibunya dalam keadaan air mani selama empat puluh hari, kemudian berubah menjadi seketul darah selama empat puluh hari, kemudian menjadi segumpal daging selama empat puluh hari. Kemudian diutus kepadanya malaikat untuk ditiupkan kepadanya roh dan (malaikat) diperintahkan untuk menetapkan empat perkara: Menetapkan rezekinya, ajalnya, amalnya dan kesudahannya sama ada derita atau bahagia. Demi Allah yang tidak ada tuhan melainkan-Nya, sesungguhnya di antara kamu ada yang melakukan amalan ahli syurga sehingga jarak antara dirinya dengan syurga tinggal sehasta, akan tetapi telah ditetapkan baginya ketentuan, lalu dia melakukan amalan ahli neraka, maka masuklah dia ke dalam neraka. Sesungguhnya di antara kamu ada yang melakukan amalan ahli neraka sehingga jarak antara dirinya dengan neraka tinggal sehasta, akan tetapi telah ditetapkan baginya ketentuan, lalu dia melakukan amalan ahli syurga, maka masuklah dia ke dalam syurga.” (Riwayat Muslim; 2643)
Qadar boleh dibahagikan kepada dua iaitu qadar yang bersifat mubram (مبرم) dan qadar yang bersifat mu’allaq (معلق).
- Qadar mubram - Qadar yang muktamad dan ia tertulis di Luh Mahfuz. Tidak ada apa-apa pengurangan, penambahan atau pengubahan kepada taqdir ini.
- Qadar mu’allaq - Qadar yang tertulis di dalam catatan malaikat. Dengan kehendak Allah, taqdir ini boleh tetap dan boleh berubah bergantung kepada sebab-sebab yang diusahakan oleh manusia seperti berdoa atau menyambung hubungan silaturrahim sebagaimana yang dinyatakan di dalam hadith bahawa perbuatan tersebut boleh memanjangkan usia seseorang itu. Namun, semua perubahan tersebut sudah diketahui oleh Allah SWT di dalam IlmuNya.
Jodoh ialah qadar muallaq, ia telah ditetapkan oleh Allah tapi ia boleh berubah. Jadi kita boleh berusaha dengan cara yang lebih baik lagi untuk mendapatkan jodoh yang lebih baik daripada yang kita sangkakan. Jadi, seseorang harus memperbaiki diri terutama dari sudut agama dan keimanan kepada Allah swt supaya jodoh yang dipertemukan kepada kita adalah dari orang soleh dan solehah.
- Allah swt berfirman dalam surah An-Nur;
“Wanita-wanita yang keji adalah untuk lelaki-lelaki yang keji, dan lelaki-lelaki yang keji pula adalah untuk wanita-wanita yang keji. Dan wanita-wanita yang baik adalah untuk lelaki-lelaki yang baik dan lelaki-lelaki yang baik pula adalah untuk wanita-wanita yang baik." (Surah An-Nur : Ayat 26)
Tanda-tanda Dia adalah Jodoh Anda
- Menerima anda seadanya
- Berasa bahagia dan rasa seronok bersamanya
- Boleh bertolak ansur walaupun berbeza sikap
- Perangainya tidak berpura-pura atau berlakon
- Rasa tenang apabila melihat mukanya
- Selalu berada disisi di saat kita memerlukan
- Rasa selamat bila dia berada dengan kita
- Apabila bersamanya, kita berasa semakin dekat dengan Allah swt
- Sanggup susah senang bersama-sama
- Akhir sekali, mendapat petunjuk melalui solat istikharah
Kesimpulan
Keseluruhannya, jodoh telahpun ditetapkan di Luh Mahfuz, namun untuk mendapatkan jodoh, ia mestilah dengan usaha. Mungkin ada kes terpencil jodoh datang sendiri, ia tidaklah mustahil. Bagaimanapun kita harus berusaha, untuk mendapatkan jodoh yang terbaik. Bagi lelaki, jika anda ingin mendapatkan jodoh yang terbaik anda haruslah berusaha lebih dan memulakan langkah awal berbanding kaum hawa. Adapun, kaum hawa tidak salah jika ingin memulakan langkah pertama, bagaimanapun mestilah dengan cara kehormat dan menjaga maruah diri sebagai wanita.
Tidak menjadi satu kesalahan bagi seorang wanita memulakan langkah dengan cara yang terhormat seperti yang dibuktikan oleh Saidatina Khadijah R.Anha ketika beliau meminang Baginda SAW. Sabdanya:
إنِّي قدْ رُزِقْتُ حُبَّها
Maksudnya: “Sesungguhnya aku telah direzekikan dengan cinta Khadijah” (Riwayat Muslim; 2435)
Justeru itu, untuk mendapatkan jodoh yang terbaik, seseorang perlulah berusaha, doa dan tawakkal kepada Allah swt. Anda boleh pelajari doa-doa mendekatkan jodoh dalam artikel selanjutnya nanti. Jangan lupa subscribe website kami. Terima kasih.
Sumber: Laman sesawang MUFTI Kuala Lumpur
Semoga perkongsian ini bermanfaat untuk para pembaca sekalian.