Return to site

Tatacara Wuduk dan Solat Dalam Kapal Terbang yang Ramai Tidak Tahu

kasturihijau.com

· AGAMA
Tatacara Wuduk dan Solat Dalam Kapal Terbang yang Ramai Tidak Tahu

Dalam keadaan musafir, hukum menunaikan solat ke atas seorang muslim tetaplah wajib. Masih ramai yang mengambil ringan tentang solat sewaktu bermusafir. Lagi-lagi ketika dalam perjalanan yang panjang menaiki kapal terbang. Ini mungkin kerana ramai tidak tahu cara sebenar untuk menunaikan solat sewaktu di dalam kapal terbang. Dalam artikel kali ini, kami kongsikan cara mudah fahami untuk anda jalankan ibadah solat dalam kapal terbang, kapal laut dan seumpamanya semasa bermusafir.

Daripada Imran bin Husain, Rasulullah SAW bersabda:

صَلِّ قَائِمًا , فَإِنْ لَمْ تَسْتَطِعْ فَقَاعِدًا , فَإِنْ لَمْ تَسْتَطِعْ فَعَلَى جَنْبٍ

Maksudnya: “Sembahyanglah dengan cara berdiri, jika engkau tidak berdaya maka dengan cara duduk, dan jika engkau tidak berdaya (dengan cara duduk) maka dengan cara berbaring (sembahyang merusuk).” (HR Bukhari, hadis sahih)

Panduan Wuduk dan Solat Dalam Kapal Terbang

Berikut adalah beberapa cara menyempurnakan ibadah solat di atas kapal terbang, kapal laut dan seumpamanya:

A) Cara Mengetahui Waktu Solat

  • Untuk mengetahui waktu solat semasa dalam kapal terbang adalah melalui pengumuman oleh pramugara atau krew kapal terbang ataupun bertanya kepada mereka jika tiada pengumuman dilakukan.
  • Waktu solat dalam kapal terbang adalah bergantung kepada waktu tempatan di kawasan yang sedang dilalui oleh kapal terbang.
  • Anda juga boleh menentukan sendiri waktu solat dengan melihat pada matahari, dan pertukaran siang malam. Jika perjalanan tersebut pada waktu malam, maka waktu untuk mendirikan solat subuh boleh diketahui melalui terbit fajar dengan kemunculan cahaya ketika seseorang itu di dalam kapal terbang.
  • Bagi solat Zuhur dan Asar boleh dilakukan apabila bermulanya waktu Zuhur dan dijama’kan dengan waktu Asar dengan mengambil kira rukhsah (kemudahan) permusafiran yang terdapat dalam syarak. Waktu Zuhur bermula apabila tergelincirnya matahari.
  • Manakala, solat Maghrib dan Isyak, lebih mudah untuk mengetahuinya, iaitu apabila matahari telah terbenam, maka masuklah waktu solat maghrib. Ketika itu, boleh melaksanakan jama’ taqdim antara maghrib dan isya’, atau ditangguhkan solat maghrib boleh dijama’kan dengan solat isya’ sebagai jama’ ta’khir.

Daripada Abdullah bin Amr RA, Rasulullah SAW bersabda:

وَقْتُ الظُّهْرِ إِذَا زَالَتْ الشَّمْسُ وَكَانَ ظِلُّ الرَّجُلِ كَطُولِهِ مَا لَمْ يَحْضُرْ الْعَصْرُ وَوَقْتُ الْعَصْرِ مَا لَمْ تَصْفَرَّ الشَّمْسُ وَوَقْتُ صَلَاةِ الْمَغْرِبِ مَا لَمْ يَغِبْ الشَّفَقُ وَوَقْتُ صَلَاةِ الْعِشَاءِ إِلَى نِصْفِ اللَّيْلِ الْأَوْسَطِ وَوَقْتُ صَلَاةِ الصُّبْحِ مِنْ طُلُوعِ الْفَجْرِ مَا لَمْ تَطْلُعْ الشَّمْسُ فَإِذَا طَلَعَتْ الشَّمْسُ فَأَمْسِكْ عَنْ الصَّلَاةِ فَإِنَّهَا تَطْلُعُ بَيْنَ قَرْنَيْ شَيْطَانٍ.

Maksudnya: “Waktu solat zuhur adalah jika matahari telah tergelincir dan bayangan seseorang seperti panjangnya selagimana belum tibanya waktu solat Asar. Waktu solat Asar selagimana matahari belum menguning. Waktu solat maghrib selagimana warna merah (syafaq) belum menghilang. Waktu solat isya` sehingga tengah malam, dan waktu solat Subuh bermula terbitnya fajar selagimana matahari belum terbit, jika matahari terbit, maka tahanlah daripada melakukan solat, kerana ia terbit di antara dua tanduk syaitan.” (HR Muslim, hadis sahih)

 

 

 

B) Cara-cara Berwuduk Dalam Kapal Terbang

Ketika menaiki kapal terbang, anda harus mematuhi penggunaan air dalam kapal terbang terutamanya dalam perjalanan jarak jauh. Penggunaan air harus dilakukan dengan seminima mungkin sama ada dengan cara yang diajarkan oleh pihak krew kapal atau dengan menggunakan spray. Jika penggunaan air dilarang sama sekali, anda boleh memilih untuk bertayamum. Cara-cara berwuduk menggunakan spray adalah:

  1. Niat mengambil wuduk
  2. Sembur seluruh kawasan muka
  3. Sembur keseluruhan tangan kanan hingga ke siku, dan sapu keseluruhan
  4. Sembur keseluruhan tangan kiri hingga ke siku, dan sapu keseluruhan
  5. Sembur air ke ubun kepada dan ratakannya
  6. Sembur keseluruhan kaki kanan hingga ke pergelangan kaki, dan sapu keseluruhannya
  7. Sembur keseluruhan kaki kiri hingga ke pergelangan kaki, dan sapu keseluruhannya
  8. Tertib

 

broken image

 

 

C) Cara-cara Tayammum Dalam Kapal Terbang

Antara sebab seseorang diperbolehkan melakukan tayamum adalah:  

  • Tidak ada air, baik secara faktual mahupun secara hukum (syar’i)
  • Jauhnya air dari orang yang bertayamum
  • Uzur menggunakan air, baik secara faktual mahupun secara hukum
  • Cuaca yang sangat dingin

Tatacara bertayammum dalam kapal tebang adalah:

  1. Membaca niat tayamum iaitu Nawaitut tayammuma lisstibaahatish shalaati fardlol lillaahi ta’aalaa (Ertinya: Aku berniat tayamum agar diperbolehkan solat kerana Allah ta’ala)
  2. Menepuk kedua belah tapak tangan secara perlahan ke sandaran kerusi pesawat di hadapan. Ke dinding pesawat pun boleh.
  3. Sapukan kedua tapak tangan ke wajah secara merata dari hujung rambut, dahi dan dilanjutkan dari daun telinga kanan sampai daun telinga kiri.
  4. Menepukkan lagi kedua telapak tangan seperti gerakan yang pertama.
  5. Terakhir, sapulah tangan kanan hingga siku menggunakan tapak tangan kiri secara merata. Setelah itu sapu tangan kiri sehingga ke siku dengan telapak tangan kanan.

Sumber: Buku Syarah Fathal Qarib Diskursus Ubudiyah Jilid Satu terbitan Mahad Al-Jamiah Al-Aly UIN Maulana Malik Ibrahim Malang

broken image

 

Bagaimanapun terdapat pendapat bahawa adalah tidak sesuai untuk menggunakan tayammum di atas kapal terbang sementelahan lagi dengan pasir yang dibawa ke dalam kapal terbang. Manakala, berkenaan isu melekapkan tangan ke dinding atau tingkap kapal terbang untuk bertayammum, adalah lebih cenderung mengatakan bahawa ia tidak menepati syarat sebenar wujudnya debu dan tanah pada dinding tersebut. Firman Allah S.W.T:

فَتَيَمَّمُواْ صَعِيدٗا طَيِّبٗا

Maksudnya: Maka bertayammumlah kalian dengan debu yang bersih (Surah al-Maidah;6)

Kata al-Imam al-Syanqithi rahimahullah ketika menafsirkan ayat ini: Menjadi ketetapan ketika tayammum adalah pada pasir yang mempunyai debu yang boleh melekat di tangan. Inilah pendapat Imam al-Syafie dan juga Imam Ahmad. Rujuk Tafsir Adhwa’ al-Bayan (1/354).

  • Oleh kerana ada percanggahan pendapat tentang tayamum atas kapal terbang, adalah baik untuk menggunakan air dengan sangat minimum sebagai wuduk atas kapal terbang. Bagaimanapun, cara terbaik adalah berbincang dengan krew kapal terbang tentang cara-cara yang sesuai untuk solat di atas kapal terbang.

Sumber: Mufti WP

 

D) Cara-cara Menentukan Arah Kiblat

  • Dalam hal ini, amatlah perlu bagi seseorang untuk menghadap ke arah kiblat ketika hendak menunaikan solat. Ini kerana, menghadap ke arah kiblat merupakan syarat sah bagi solat. Ia berdasarkan firman Allah SWT:

فَوَلِّ وَجْهَكَ شَطْرَ المَسْجِدِ الحَرَام

Maksudnya: Maka palingkanlah wajah kamu menghadap ke arah Masjid al-Haram. (Surah al-Baqarah;144)

  • Namun ianya dikecualikan jika terdapat keuzuran untuk menghadap ke arah kiblat maka dibolehkan untuk menghadap arah yang paling hampir dengan kiblat.
  • Memandangkan arah kiblat sukar ditentukan kerana pergerakan pesawat, penumbang hendaklah menentukan arah kiblat dan yakin dengan arah tersebut.
  • Sekiranya usaha telah dilakukan dan masih tidak menemui arah kiblat sama ada ketika berada di dalam kenderaan seperti kapal terbang dan kereta api, maka dalam situasi ini perlu dianggarkan arah kiblat yang tepat.

 

 

E) Cara-cara Solat Atas Kapal Terbang

Ada sesetengah kapal terbang yang mempunyai keluasan besar seperti Boeing 747, 757, 777, Airbus, mampu menyediakan ruangan untuk bersolat. Jika anda berkesempatan menaiki kapal terbang yang mempunyai kemudahan ini, haruslah memilih cara solat seperti biasa kerana lebih banyak rukun fi’liyyah yang dapat kita lakukan dengan cara ini.

Namun, jika anda menaiki kapal terbang yang bersaiz kecil, maka dibolehkan untuk solat di tempat duduknya sahaja. Akan tetapi, terdapat beberapa keadaan yang perlu untuk diberatkan iaitu:

  • Halakan tubuh badan ke arah kiblat dari mula solat.
  • Laksanakan rukun solat sekadar yang termampu. Ini berdasarkan firman Allah S.W.T yang bermaksud: Bertakwalah kalian kepada Allah sekadar kemampuan kalian (Surah al-Taghabun: 16)
  • Segala rukun qauli (perkataan) hendaklah dilaksanakan.
  • Syarat-syarat sah solat hendaklah dilakukan dengan sebaik mungkin.
  • Solat secara berdiri kecuali rasa takut rebah, bergoyang, bergoncang, pening dan lain-lain maka dibolehkan duduk. Hal ini kerana Rasulullah pernah solat atas binatang tunggangan.
  • Hendaklah berusaha selagi mampu bagi mencari tempat untuk bersolat dengan sempurna
  • Jikalau tiada tempat untuk solat, maka tetaplah bersolat di tempat duduk sendiri dan solatlah dengan sujudnya ditunduk lebih rendah daripada rukuk.
  • Jikalau sedang solat dan kapal terbang bergoyang sedikit, maka dibolehkan berpegang atau bersandar sebentar pada dinding atau kerusi bagi mengimbangkan diri.
  • Jikalau kapal terbang banyak bergoyang sehingga membimbangkan, maka dibolehkan solat duduk dengan memakai tali pinggang keselamatan, atau tunggu sehingga tenang baru mula bersolat.
  • Menurut pendapat ulama Mazhab Syafie, jika angin bertiup dan beralih haluan kapal lalu beralih juga mukanya dari arah qiblat wajiblah dia memutarkan badannya ke arah qiblat itu dan terus mengerjakan solat.
  • Pastikan anda tidak memaksa diri beribadat sehingga mendatangkan kecederaan dan menyusahkan orang-orang di sekeliling anda. Tunggulah masa yang sesuai dan tenang untuk melakukan ibadat solat.

Gambar di bawah menunjukkan tatacara solat dalam kapal terbang di atas kerusi masing-masing.

broken image

Anda juga boleh pelajari cara solat dalam kapal terbang daripada klip video berikut.

 

Cara Solat Hormat Waktu Dalam Kapal Terbang

TAKRIF SOLAT MENGHORMATI WAKTU

  • Solat fardhu yang didirikan seseorang yang dalam keadaan terdesak iaitu tidak ada kemudahan atau kemampuan untuk bersuci atau berhalangan air, faktor keselamatan pesawat dan penumpang dan macam-macam lagi sebab yang menghalang untuk solat. Maka, Islam mengharuskan seseorang itu mengerjakan solat tanpa wuduk dan tanpa menghadap kiblat.
  • Contoh niatnya: "Sahaja aku solat fardhu Subuh dua rakaat menghormati waktu kerana Allah Taala"
  • Seseorang yang melakukan solat menghormati waktu WAJIB MENGULANGI SOLATNYA apabila sudah memperolehi kemudahan atau kemampuan untuk bersuci atau tidak berhalangan menggunakan air jika waktu solat tersebut masih ada.
  • Jika waktu solat itu sudah luput, wajiblah seseorang MENGQADA'KAN SOLAT tersebut.
broken image

 

Syeikh Hasan bin Ahmad bin Muhammad bin Salim menjelaskan dalam kitab Taqrirat as-Sadidah:

وَمِثْلُ ذٰلِكَ الصَّلَاةُ فِي الطَّائِرَةِ، فَتَجُوزُ مَعَ الصِّحَّةِ صَلَاةَ النَّفْلِ، وَأَمَّا صَلَاةُ الْفَرْضِ إِنْ تَعَيَّنَتْ عَلَيهِ أَثْنَاءُ الرِّحْلَةِ وَكَانَتِ الرِّحْلَةُ طَوِيلَةٌ، بِأَنْ لَمْ يَسْتَطِعِ الصَّلَاةَ قَبْلَ صُعُودِهَا أَوْ إِنْطِلَاقِهَا أَوْ بَعْدَ هُبُوطِهَا فِي الْوَقْتِ، وَلَوْ تَقْدِيمًا أَوْ تَأْخِيرًا، فَفِي هٰذَا الْحَالَةِ يَجِبُ عَلَيهِ أَنْ يُصَلِّيِ لِحُرْمَةِ الْوَقْتِ مَعَ اسْتِقْبَالِ الْقِبْلَةَ وَفِيهَا حَالَتَانِ: 1. إِنْ صُلِّيَ بِإِتْمَامِ الرُّكُوعِ وَالسُّجُودِ: فَفِي وُجُوبِ الْقَضَاءِ عَلَيهِ خِلَافٌ، لِعَدَمِ اسْتِقْرَارِ الطَّائِرَةَ فِي الْأَرْضِ وَالْمُعْتَمَدِ أَنَّ عَلَيهِ الْقَضَاءَ 2 - وَإِنْ صَلَّى بِدُونِ إِتْمَامُ الرُّكُوعِ وَالسُّجُودِ أَوْ بِدُونِ اسْتِقْبَالَ الْقِبْلَةَ مَعَ الْإِتْمَامِ فَيَجِبُ عَلَيهِ الْقَضَاءُ بِلَا خِلَافٌ

Maksudnya: “Seperti hal demikian solat di dalam kapal terbang, melakukannya dibolehkan pada solat sunat. Sedangkan pada solat fardhu, jika dia hanya mampu melakukan di tengah perjalanan kerana perjalanan jauh dan ia tidak mampu melaksanakan solat pada waktunya, sama ada sebelum atau selepas mendarat kapal terbang, meskipun dengan cara jama’ taqdim atau takkhir, maka dalam keadaan demikian wajib baginya untuk solat hormat waktu dengan tetap menghadap ke arah kiblat.”

 

Secara kesimpulannya, melakukan solat di dalam kapal terbang atau di mana-mana keadaan anda berada hukumnya wajib kerana ia merupakan tiang agama dan merupakan amalan pertama yang akan dihisab di akhirat kelak. Jika anda telah berusaha sebaik mungkin untuk menunaikan solat dalam kapal terbang, namun pelbagai permasalah yang timbul, anda harus melakukan solat menghormati waktu dan mengqada'kan solat fardhu jika waktu solat telah tamat.

Semoga perkongsian ini bermanfaat untuk anda para pembaca kasturihijau.com.

Sumber: Buku praktik solat waktu kritikal, Dr. Haji Ahmad Nasir Mohd Yusoff.