Pernahkah anda dengar mengenai ujian DNA atau ujian genetik? Ujian DNA adalah suatu kaedah saintifik untuk mengesan ko genetik seseorang, sama ada dari segi penentuan kod genetik untuk nasab keturunan, penyakit bawaan genetik, hubungan kekeluargaan, dan ciri-ciri fizikal boleh ditentukan menggunakan kaedah saintifik ini. Bagi penentuan ayah atau ibu kandung seseorang anak, ujian paterniti dan materniti boleh ditentukan. Dalam artikel ini, kami kongsikan cara melakukan ujian paterniti DNA di hospital kerajaan atau swasta.
Apakah itu Ujian DNA?
Ujian DNA, atau juga dikenali dengan nama penuh ujian asid deoksiribonukleik merupakan satu prosedur saintifik yang digunakan untuk menganalisis kod genetik seseorang. Kod genetik merangkumi pelbagai maklumat genetik penting tentang nasab atau keturunan seseorang, termasuk hubungan kekeluargaan, ciri-ciri fizikal, dan potensi untuk penyakit bawaan genetik. Ujian DNA atau ujian genetik ini sering digunakan dalam pelbagai konteks, termasuk perubatan, forensik, dan perundangan. Proses ini tidak rumit dan melibatkan pengambilan sampel, seperti darah atau air liur, yang kemudiannya dianalisis di makmal untuk mendapatkan maklumat yang diperlukan. Terdapat pelbagai ujian DNA yang ada dijalankan di hospital dan klinik kerajaan dan swasta, antaranya ujian paterniti, materniti dan banyak lagi.
Apakah Ujian Paterniti DNA?
Ujian paterniti DNA bermaksud ujian yang mengesahkan hubungan antara bapa dan anak. Ujian paterniti DNA biasanya dijalankan untuk memastikan atau mengecualikan bapa biologikal seseorang anak. Paterniti adalah ujian yang sangat tepat, cepat serta memerlukan kos yang berpatutan dengan kuasa diskriminasi (atau ketepatan) sebanyak 99.9999%. Ujian ini dijalankan ke atas individu pada sebarang peringkat umur. Ujian DNA merupakan kaedah yang telah diterima oleh komuniti undang-undang dan sains untuk menentukan identiti seseorang di Malaysia.
- Dalam contoh ujian DNA bagi kes A, anda dapat melihat bahawa kanak-kanak tersebut telah mewarisi separuh daripada bahan genetiknya daripada ibunya, dan separuh daripada bapa yang berpotensi. Ini menunjukkan bahawa lelaki dan kanak-kanak itu berkongsi cukup penanda DNA untuk mengesahkan hubungan biologi.
- Manakala, Dalam contoh ujian DNA kes B, anda dapat melihat bahawa bapa yang berpotensi tidak berkongsi sebarang penanda DNA dengan kanak-kanak itu dan oleh itu, dia tidak boleh diambil kira sebagai bapa (iaitu, dia tidak boleh menjadi bapa biologi).
Jenis-jenis Ujian DNA
Ada pelbagai ujian DNA atau genetik yang ada di Malaysia antaranya:
- Pemeriksaan Ujian Paterniti dan Materniti DNA : Untuk mengetahui identiti anak dan ibu bapa termasuk adik beradik
- Ujian Prenatal : Untuk mengetahui mutasi atau kelainan genetik pada kromosom janin seperti Down syndrome, Endward Syndrome
- Ujian Genetik DNA: Untuk mengetahui penyakit keturunan, masalah kesihatan, kekurangan vitamin dan nutrisi dan boleh membantu merancang kesihatan lebih awal
- Ujian Forensik: Untuk mendapatkan bukti kes jenayah atau proses undang-undang
Senarai Hospital dan Jabatan Kerajaan yang Menjalankan Ujian DNA
Beberapa hospital kerajaan di Malaysia menawarkan perkhidmatan ujian DNA antaranya adalah:
- Hospital Kuala Lumpur
- Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang
- Hospital Pulau Pinang
- Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar
- Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru
- Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu
- Hospital Umum Sarawak di Kuching
- Jabatan Kimia Malaysia (Klik)
Senarai Klinik Swasta yang Menjalankan Ujian Paterniti DNA
- Hospital Az-Zahra, Bangi
- Klinik Amani
- Klinik Iltizam
- NextMed Setia Alam
- Klinik ARC
- Klinik MedicVac dan lain-lain. Untuk mendapatkan senarai klinik swasta yang menjalankan ujian DNA berhampiran anda, boleh rujuk laman web ini (Klik)
Kadar Bayaran Ujian DNA Paterniti
- Jika anda pergi ke pusat perubatan atau klinik swasta, ujian DNA boleh menelan belanja antara RM1,500 hingga RM5,000 iaitu bergantung kepada jenis ujian yang anda pilih dan kemudahan yang digunakan.
- Manakala, jika anda pergi ke Hospital Kerajaan atau ke Jabatan Kimia Malaysia, kos menjalankan ujian DNA adalah antara RM300 hingga RM1,500 bergantung kepada jenis ujian DNA yang anda pilih.
Cara Melakukan Ujian DNA Paterniti
Kebiasaannya, prosedur melengkapkan satu ujian DNA di hospital kerajaan atau Jabatan Kimia Malaysia memerlukan beberapa langkah antaranya:
1. Muat Turun Borang Permohonan Ujian DNA
Langkah pertama adalah memuat turun borang permohonan ujian DNA dan borang pengumpulan spesimen darah dari laman web Jabatan Kimia Malaysia. Ini adalah langkah penting untuk memulakan proses ujian DNA secara rasmi.
2. Pengambilan Spesimen Darah daripada Anak dan Ibubapa
Spesimen darah boleh diambil dari individu seperti bapa, ibu, anak, atau adik-beradik di mana-mana hospital atau klinik kerajaan atau swasta yang diiktiraf oleh Kementerian Kesihatan Malaysia. Pastikan doktor menulis nama dan nombor kad pengenalan pada setiap tiub spesimen darah yang diambil untuk mengelakkan kekeliruan.
3. Jumlah Spesimen yang Diperlukan
Sekurang-kurangnya 1 mL spesimen darah diperlukan bagi setiap individu dan spesimen ini perlu disimpan dalam tiub EDTA untuk mengekalkan kualitinya.
4. Menghantar Borang dan Spesimen
Isi borang permohonan ujian DNA dengan lengkap dan hantar atau pos spesimen darah beserta borang permohonan dan bayaran ke Seksyen Forensik DNA, Jabatan Kimia Malaysia.
5. Bayaran Kos Ujian DNA
Bayaran untuk kos ujian DNA di Hospital Kerajaan mengikut perkhidmatan. Bayaran penuh perlu dilakukan semasa pendaftaran sampel melalui wang pos atau bank draf yang ditujukan kepada ‘Ketua Pengarah Kimia Malaysia’.
6. Keputusan Ujian DNA
Keputusan ujian DNA dan laporan kimia akan dikeluarkan dalam masa 25 hari dari tarikh pendaftaran sampel. Pesakit boleh mendapatkan laporan tersebut secara peribadi di kaunter Forensik atau melalui pos berdaftar.
Langkah-langkah Menjalankan Ujian Paterniti DNA di Jabatan Kimia Malaysia
Keputusan Ujian Paterniti DNA
Berdasarkan keputusan profil DNA yang anda bakal perolehi, sekiranya profil DNA anak menepati 50 % daripada profil DNA bapa (atau ibu) yang diuji, kiraan akan dibuat bagi mendapatkan nilai gabungan indeks paterniti (combined paternity indexed) dan kebarangkalian paterniti.
Sekiranya lebih daripada dua penanda DNA pada anak tidak berpadanan dengan penanda DNA pada profil bapa yang diuji, maka individu tersebut akan dinyatakan sebagai bukan bapa kandung kepada anak tersebut di dalam laporan yang dikeluarkan oleh makmal. Bagaimanapun, keputusan akhir nanti akan disahkan oleh pegawai perubatan dan pegawai penyelidik yang terlibat.
Kredit dan Sumber: Jabatan Kimia Malaysia & KKM