Zikir adalah satu istilah yang suci dari Ilahi. Setiap umat Islam digalakkan untuk berzikir pada setiap kali selepas solat. Sesiapa yang mengingati Allah swt, hatinya akan menjadi tenang. Artikel kali ini, pengarang akan menerangkan apakah zikir harian, zikir hari Isnin mengikut Imam Al-Ghazali, dan kelebihan berzikir.
Seperti yang didefinisikan oleh Syeikh Abdul Rahman al-Sa’di, zikir secara umum adalah meliputi segala perkara yang mendekatkan seseorang hamba dengan Allah SWT dari segi aqidah, pemikiran, amalan hati, amalan badan atau pujian ke atas Allah atau mempelajari ilmu berfaedah atau mengajarinya atau seumpama dengannya.
Apakah itu Zikir?
Zikir merujuk kepada lafaz-lafaz tertentu yang disyariatkan oleh Allah SWT seperti membaca al-Quran, menyebut nama-nama dan sifat-sifatNya yang Maha Tinggi dengan bibir atau di dalam hati sebagaimana yang termaktub di dalam al-Quran, atau pun lafaz-lafaz yang disyariatkan menerusi lidah Rasulullah SAW yang memberi erti pujian, penyucian, pengudusan dan pengesaan terhadap Allah SWT.
Dalil-dalil Amalan Zikir Harian
1. Perintah Allah swt seperti berzikir mengingatiNya melalui solat lima waktu seperti firman Allah SWT:
إِنَّنِي أَنَا اللَّهُ لَا إِلَهَ إِلَّا أَنَا فَاعْبُدْنِي وَأَقِمِ الصَّلَاةَ لِذِكْرِي
Maksudnya: “Sesungguhnya Akulah Allah; tiada Tuhan melainkan Aku; oleh itu, sembahlah akan daku, dan dirikanlah sembahyang untuk mengingati daku.” (Surah Taha)
2. Allah SWT berfirman supaya manusia mengingatinya seperti dalam ayat tersebut:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اذْكُرُوا اللَّهَ ذِكْرًا كَثِيرًا، وَسَبِّحُوهُ بُكْرَةً وَأَصِيلًا
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, (untuk bersyukur kepada Allah) ingatlah serta sebutlah nama Allah dengan ingatan serta sebutan yang sebanyak-banyaknya.” (Surah Al-Ahzab)
Hukum Mengamalkan Zikir Harian
Hukam berzikir adalah sunat. Bagaimanapu, sesiapa yang menolak kepentingan berzikir, golongan tersebut boleh dikategorikan sebagai fasiq. Ini kerana zikir adalah termasuk dalam salah satu kaedah penting dalam mendekatkan diri seseorang hamba kepada Allah SWT. Dalam disiplin keilmuan Islam, ilmu berkenaan hal ehwal mendekatkan diri kepada Allah SWT disebut sebagai tasawuf.
Antara ayat al-Quran berkaitan tuntutan berzikir adalah firman Allah SWT:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اذْكُرُوا اللَّهَ ذِكْرًا كَثِيرًا
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! berzikirlah kamu kepada Allah dengan zikir yang banyak.”
Bacaan Zikir Hari Isnin Mengikut Imam Al-Ghazali
Berikut adalah zikir wajar diamalkan pada hari Isnin. Amalkan 100 kali pada hari Isnin.
لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِٱللَّٰهِ
Bacaan Rumi: Laa HawLa WaLaa Quwwata ilLaa Billahil-‘Aliyyil ‘Azimm
Maksudnya: Tiada daya upaya melainkan dengan kekuasaan Allah yang Maha Tinggi Lagi Maha Agung
Kelebihan Mengamalkan Zikir Hari Isnin
Antara kelebihan mengamalkan zikir hari isnin adalah seperti berikut.
- Menghalau syaitan.
- Mendapatkan keredhaan Allah.
- Menghilangkan kegelisahan hati yang berdukacita.
- Menguatkan hati dan tubuh badan.
- Menerangkan hati dan wajah.
- Dimurahkan rezeki.
- Merasa manisnya keimanan dan ketenangan.
- Mendekatkan diri kepada Allah sehingga dimasukkannya dalam golongan orang yang mencapai tahap ihsan iaitu beribadah kepada Allah seakan-akan melihatNya.
- Hati seseorang akan kembali kepada Allah dalam setiap keadaan.
- Akan semakin bertambah kemakrifatan kepada Allah (mengenal Allah).
- Mendatangkan rasa takut pada Allah swt dan semakin menghinakan diri kepadaNya.
Rujukan: DR. ZULKIFLI AL-BAKRI
Kesimpulan
Berdasarkan daripada penerangan ini, bahawasanya semua umat Islam dituntut untuk mengingati Allah swt dan berzikir dalam setiap keadaan. Firman Allah SWT:
فَاذْكُرُونِي أَذْكُرْكُمْ
Maksudnya: “Maka ingatlah padaKu, maka Aku akan mengingati kamu.” (Surah al-Baqarah:152)
Semoga perkongsian ini bermanfaat untuk para pembaca sekalian. Diharap artikel ini dapat disebarkan kepada rakan-rakan yang lain, supaya sama-sama kita mengumpulkan pahala akhirat kita demi menegakkan agama Allah SWT.