Return to site

Lafaz Zikir Hari Jumaat Mengikut Imam Al-Ghazali

www.kasturihijau.com

· AGAMA
zikir imam al ghazali

Zikir adalah satu istilah yang suci dari Ilahi yang mana barang sesiapa yang mengingati Allah swt, hatinya akan menjadi tenang. Pada artikel kali ini, pengarang akan menerangkan apakah zikir harian, zikir hari Jumaat mengikut Imam Al-Ghazali, dan kelebihan berzikir dalam Islam.

Seperti yang didefinisikan oleh Syeikh Abdul Rahman al-Sa’di, zikir secara umum adalah meliputi segala perkara yang mendekatkan seseorang hamba dengan Allah SWT dari segi aqidah, pemikiran, amalan hati, amalan badan atau pujian ke atas Allah atau mempelajari ilmu berfaedah atau mengajarinya atau seumpama dengannya.

Apakah itu Zikir?

Zikir merujuk kepada lafaz-lafaz tertentu yang disyariatkan oleh Allah SWT seperti membaca al-Quran, menyebut nama-nama dan sifat-sifatNya yang Maha Tinggi dengan bibir atau di dalam hati sebagaimana yang termaktub di dalam al-Quran, atau pun lafaz-lafaz yang disyariatkan menerusi lidah Rasulullah SAW yang memberi erti pujian, penyucian, pengudusan dan pengesaan terhadap Allah SWT.

Dalil-dalil Amalan Zikir Harian

1. Perintah Allah swt seperti berzikir mengingatiNya melalui solat lima waktu seperti firman Allah SWT:

إِنَّنِي أَنَا اللَّهُ لَا إِلَهَ إِلَّا أَنَا فَاعْبُدْنِي وَأَقِمِ الصَّلَاةَ لِذِكْرِي

Maksudnya: “Sesungguhnya Akulah Allah; tiada Tuhan melainkan Aku; oleh itu, sembahlah akan daku, dan dirikanlah sembahyang untuk mengingati daku.” (Surah Taha)

2. Allah SWT berfirman supaya manusia mengingatinya seperti dalam ayat tersebut:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اذْكُرُوا اللَّهَ ذِكْرًا كَثِيرًا، وَسَبِّحُوهُ بُكْرَةً وَأَصِيلًا

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, (untuk bersyukur kepada Allah) ingatlah serta sebutlah nama Allah dengan ingatan serta sebutan yang sebanyak-banyaknya.” (Surah Al-Ahzab)

Hukum Mengamalkan Zikir Hari Jumaat

Hukum berzikir adalah sunat. Bagaimanapu, sesiapa yang menolak kepentingan berzikir, golongan tersebut boleh dikategorikan sebagai fasiq. Ini kerana zikir adalah termasuk dalam salah satu kaedah penting dalam mendekatkan diri seseorang hamba kepada Allah SWT. Dalam disiplin keilmuan Islam, ilmu berkenaan hal ehwal mendekatkan diri kepada Allah SWT disebut sebagai tasawuf.

Antara ayat al-Quran berkaitan tuntutan berzikir adalah firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اذْكُرُوا اللَّهَ ذِكْرًا كَثِيرًا

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! berzikirlah kamu kepada Allah dengan zikir yang banyak.”

Hari Jumaat adalah hari yang mempunyai kemuliaan dan keistimewaan tersendiri. Hari Jumaat dikenali dengan panggilan Saiyyidul Ayyam yang bermaksud penghulu bagi segala hari.

Bacaan Zikir Hari Jumaat Mengikut Imam Al-Ghazali

Berikut adalah zikir wajar diamalkan pada hari Jumaat. Amalkan menyebut ‘Ya Allah’ sebanyak 1000 kali diikuti selawat ke atas Nabi. Anda boleh membahagikan 1000x kali zikir kepada 5 kali zikir selepas waktu solat. Setiap kali selepas solat pada hari Jumaat anda zikir 200 kali ‘Ya Allah’.

يا الله

Lafaz Rumi: "YA ALLAH"

Maksudnya: WAHAI ALLAH

broken image

Antara kelebihan mengamalkan zikir hari Jumaat adalah seperti berikut.

  • Dikeluarkan daripada kesempitan dunia
  • Dikurniakan keberkatan pada keturunannya
  • Menghalau syaitan.
  • Mendapatkan keredhaan Allah.
  • Menghilangkan kegelisahan hati yang berdukacita.
  • Menguatkan hati dan tubuh badan.
  • Menerangkan hati dan wajah.
  • Dimurahkan rezeki.
  • Merasa manisnya keimanan dan ketenangan.
  • Mendekatkan diri kepada Allah sehingga dimasukkannya dalam golongan orang yang mencapai tahap ihsan iaitu beribadah kepada Allah seakan-akan melihatNya.
  • Hati seseorang akan kembali kepada Allah dalam setiap keadaan.
  • Akan semakin bertambah kemakrifatan kepada Allah (mengenal Allah).
  • Mendatangkan rasa takut pada Allah swt dan semakin menghinakan diri kepadaNya.

Rujukan: DR. ZULKIFLI AL-BAKRI

Kesimpulan

Berdasarkan daripada penerangan ini, bahawasanya semua umat Islam dituntut untuk mengingati Allah swt dan berzikir dalam setiap keadaan. Firman Allah SWT:

فَاذْكُرُونِي أَذْكُرْكُمْ

Maksudnya: “Maka ingatlah padaKu, maka Aku akan mengingati kamu.” (Surah al-Baqarah:152)

Semoga perkongsian yang disampaikan ini bermanfaat kepada para pembaca sekalian. Teruskan berkongsi dengan rakan-rakan dan sahabat handai serta sebarkan lagi ilmu agama Islam seperti yang disuruh oleh Allah SWT.